SEJARAH DAN NAMA KAMPUNG
Kampung Gagu jaraknya 8 km dari pekan Kuala Klawang Daerah Jelebu. Pemandangan kawasan kampung diapit oleh bukit bukau, hamparan tanaman padi dan kawasan kebun getah serta dusun. Keluasan kampung keseluruhan 650 ekar termasuk Kampung Sungai Legom di bawah pentadbiran JKKK Kg. Gagu. Majoriti penduduk adalah Etnik Minangkabau. Kampung ini dibuka lebih dari 150 tahun oleh peneroka berasal dari Minangkabau . Asalnya dipanggil kampung “solok” yang bererti “hulu”, saperti yang terdapat di beberapa kampung Minangkabau kerana kawasan yang terpencil. Ramai yang berpendapat dan merumuskan nama Kampung Gagu ini berasal dari perkataan “ragu” kononnya sekumpulan penduduk asal dari Minangkabau yang datang awalnya berkeadaan ragu apabila sampai di kaki Bukit Baling-Baling yang merupakan bukit tertinggi yang memisahkan Kampung Renal dan Geliu Hulu Klawang. Gelaran Datuk Empat sebagai Ketua Kampung adalah gelaran yang dibawa dari Minangkabau. Dibawahnya ada empat suku Minang yang utama: Suku Kota Piliang, Suku Sikumbang, Suku Jambak dan Suku Caniago. Datuk Empat adalah ketua adat dan ketua pentadbiran kampung ketika itu.